Friday, 6 September 2013

Bersederhana Di dalam Perbelanjaan Negara


Jikalau kesederhanaan dituntut di dalam perbelanjaan individu, maka perkara yang sama juga dituntut di dalam perbelanjaan negara. Ia hendaklah dilakukan bermula dari ketua negara dan mereka yang berada di bawahnya. Bahkan sewajarnya pemimpin umat Islam hendaklah menjadi teladan kepada umat Islam dari segi berhati-hati tentang harta negara serta mengurangkan kemewahan dan kekayaan mereka.

Nabi s.a.w yang merupakan pemimpin tertinggi umat Islam adalah orang pertama yang berlapar dan orang terakhir yang kenyang. Abu Hurairah r.a berkata: " Rasulullah s.a.w telah meninggalkan dunia dalam keadaan tidak pernah kenyang dengan roti gandum" . Aisyah r.h pula pernah berkata: "Rasulullah tidak pernah kenyang selama tiga hari berturut-turut. Kalau kami mahu, kami boleh makan sehingga kenyang, akan tetapi Baginda selalu lebih mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri"

Rasulullah s.a.w menolak untuk menggunakan alas tidur yang empuk. Bantal Baginda s.a.w dibuat dari kulit pokok. Rasulullah s.a.w tidur di atas tikar sampai terdapat kesan pada lambung Baginda. Rasulullah s.a.w. wafat di dalam pakaian yang sudah lusuh dan sarung yang kasar.Begitu juga keadaan Abu Bakar, Umar dan Ali Radhiyallahu'anhum. Umar berkata: "Perumpamaan aku dengan harta ini (harta kerajaan) adalah umpama wali kepada anak yatim. Jika mencukupi aku tidak menyentuhnya, tetapi jika aku memerlukannya aku akan ambil dengan baik".

Kita tidak meminta para pemimpin kita agar menjadi seperti mereka yang agung ini, cuma kita mahukan agar mereka bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan harta awam, serta tidak membahagikannya kepada kaum kerabat, anak menantu dan kroni-kroni mereka. Banyak dari kalangan pemimpin kita yang menyangka harta negara adalah hak milik mereka. Oleh itu, mereka menguruskannya menurut apa yang mereka suka. Jarang sekali terdapat mana-mana pihak yang mengaudit mereka.

Hatta, negara-negara yang mempunyai Parlimen, Jabatan Pengawasan atau Jabatan Audit Negara, mereka tidak dapat menyentuh perkara-perkara yang bersangkutan dengan pemimpin negara serta mereka mempunyai hubungan dengannya.Di sana terdapat pihak-pihak tertentu yang membelanjakan wang negara tanpa sebarang pengawasan dan batasan yang menjadi tanda tanya dikalangan ramai orang serta pihak-pihak yang berkaitan dengan media massa, sukan dan polis serta tentera. Pada masa yang sama, mereka amat berkira dan memberikan peruntukan yang sedikit dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, kesihatan, pengagkutan dan khidmat masyarakat.

Syarak mewajibkan agar diwujudkan keseimbangan antara pelbagai kepentingan dengan mendahulukan perkara-perkara keperluan asas berbanding perkara-perkara sampingan dan seterusnya...Syarak juga mewajibkan agar mendahulukan perkara yang berkaitan orang ramai berbanding dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kelompok-kelompok tertentu. Begitu juga mesti mendahulukan kepentingan golongan miskin dan lemah berbanding dengan golongan kaya dan pembesar.

petikan dari buku " Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan" tulisan Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi. Terjemahan Ustaz Mohammad Zaini Yahaya.

Dalam ciri kesembilan : Ekonomi & Harta (m/s 346-347)







No comments:

Post a Comment