Thursday 21 August 2014

IMANUJI

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah atas nikmat Islam. Atas nikmat nyawa dan akal. Atas nikmat rezeki dan isteri. Atas nikmat pengajaran selepas ujian.
Dikeluarkan oleh Ahmad dan At-Tabarani daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah mencerca Abu Bakar r.a. Ketika itu, Rasulullah SAW juga sedang duduk di sana. Baginda SAW tersenyum dan kehairanan melihatkan keadaan lelaki tersebut. Apabila lelaki itu mula bersikap kurang ajar terhadap dirinya, Abu Bakar r.a. pun membalas beberapa kata lelaki tersebut. Dengan yang demikian, Rasulullah SAW menjadi amat marah lalu bangun dan diekori oleh Abu Bakar r.a.. Abu Bakar berkata kepada Rasulullah SAW: "Lelaki itu bersikap kurang ajar terhadap diriku, oleh kerana itu aku membalasnya. Apabila aku mula membalasnya, kamu meninggalkan kami di tempat itu".
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu tidak membalas kata-katanya, terdapat malaikat yang membalasnya untuk kamu. Walau bagaimanapun apabila kamu mula membalas kata-kata kesatnya itu syaitan mula mengambil tempat dan duduk di antara kamu. Oleh yang demikian, aku tidak mahu duduk bersama-sama dengan syaitan".

Bagaimana nabi mengajar sahabatnya tentang sabar.  Allah telah berfirman:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (Al-Ankabut:2-3).  
"Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya." (Al-Kahfi:7-8) 
"Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35).
Maha suci Allah. Kita semua meng'claim' mengatakan kita beriman. Sering mengklaim seorang yang sabar. seorang yang cool seorang yang tidak mudah marah. Malah berbangga bila ia diiyakan orang kiri dan kanan. Sedang Allah telah mengingatkan. "wahai coolman, engkau masih belum diuji. Adakah engkau rasa engkau sudah beriman? "

Jika Khalifah Abu Bakar yang mulia itu pun diuji, juga terlepas nafsu marahnya. Sedangkan iman Abu-Bakar itu diakui Rasulullah : “Jika ditimbang iman Abu Bakar As Siddiq dengan seluruh umat manusia, nescaya berat lagi iman Abu Bakar”. Apatah lagi iman kita yang mungkin tidak sampai seberat kapas. Allahurobbi. Bukanlah bermaksud jika Abu bakar itu pun gagal maka tidak mengapa kita mengikut nafsu oleh kerana iman yang nipis. Tapi sebagai iktibar dan motivasi. Sememangnya manusia itu akan diuji. Dan ujian itu datang dari pelbagai sisi, sehingga bukan sahaja dari musuh yang nyata, malah orang yang paling rapat dan dikasihi juga. Sebagaimana Asiah diuji kezaliman Firaun, Nabi Lut diuji pengkhianatan isteri. Sebagaimana Nuh diuji perasaan kasih melihat anaknya yang kufur itu lemas. Atas kehendak Allah mereka semua berjaya menghadapi ujian yang dasyat ini , dan kisah ini patut menjadi iktibar kepada kami semua yang patut lebih sabar walaupun sebesar mana ujian.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengasihani ke atas hambaNya. Memang benar kami menyatakan kami beriman, tapi kami takut akan ujian yang akan menafikan kenyataan iman kami. Kami menyatakan Islam, tapi kami tidak taat kepadamu. Kami mengasihi Nabi Muhamd s.a.w, tapi kami ingkar. Kami mengaku bersalah. Memang benar kami mengikut nafsu. Maafkanlah kami atas itu. Berilah kebaikan dan ketinggian darjat kepada orang yang telah kami zalimi. Dan kasihanilah kami. Janganlah biarkan kami terus menerus mengikut nafsu. Perelokkanlah perbuatan kami, perelokkanlah perkataan kami, perelokkanlah akhlak kami. Kurniakanlah kami sabar yang mana mati itu batasnya. Kami redha diatas takdir dan ujian mu. Tiadalah kami harapkan melainkan redha Mu.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Al-Baqarah 286)

Semoga, kita semua kembali bila diuji. Semoga kita semua sabar sehingga mati. Dan mati itu mungkin sekejap lagi.

Allahurobbi.