Thursday 30 April 2015

NAFI

بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillahirrahmanirrhim .


Hidup ini bukan main-main. Jantung diberikan nyawa, Otak diberikan akal. Badan diberikan tenaga bukanlah untuk disia-sia. Semua akan dinilai semula di hari perhitungan. At the end of the day, disana cuma terdapat 2 golongan. Golongan kanan dan golongan kiri. Golongan kanan ke Syurga yang penuh nikmat. Golongan kiri ke Neraka yang penuh azab. Antara sifat yang ada pada golongan kiri ialah NAFI. iaitu sifat menafikan kebenaran.

Menyelusuri sejarah kehidupan manusia, Syaitan yang sebenarnya seorang ahli ibadah, telah berani ingkar untuk tidak tunduk kepada Adam seperti yang di perintahkan oleh Allah. Syaitan menafikan kemuliaan Adam kerana berasa sombong keatas diri sendiri, mengangkat diri sendiri lebih mulia daripada Adam. Tiada kata maaf setelah dilaknat, malah meminta izin untuk dipanjangkan umur dan kebenaran untuk menyesatkan keturunan Adam atas dendam. Maka bermulalah siri PENAFIAN manusia terhadap KEBENARAN yang telah dibawa oleh para Rasul.

Sepertimana yang berlaku di era pemerintahan Namrud. Sudah nyata dan terang tentang betapa palsunya berhala-berhala tersebut. Setelah sesi perdebatan dan penghujahan logik dari Nabi Ibrahim. Namrud tetap menafikan kebenaran. Hatinya yang telah hitam tetap menafikan betapa berhala yang memegang kapak itu adalah tuhan palsu. Tidak mampu bergerak malah menyelamatkan diri sendiri dari dikapak juga tidak boleh. Namrud seboleh-boleh menafikan fakta itu. Marah kerana tidak dapat berhujah, Namrud menghukum untuk membakar Nabi Ibrahim. Sudahlah kalah berhujah, dihukum pula orang yang benar. Sekali lagi terjadi ujian terhadap Namrud, apabila matanya melihat musuhnya yang dibakar itu tidak lut oleh api . Tuhan Ibrahim telah menyelamatkannya dari api tersebut. Walaupun melihat sendiri didepan matanya, Namrud tetap memilih untuk hidup dalam penafian.

Sejarah turut merakamkan kisah penafian dari taghut yang mahsyur sepanjang zaman iaitu Firaun. Bagaimana Firaun menafikan kebenaran yang telah diserukan oleh Nabi Musa dan Harun. Sudah nyata tanda-tanda dan bukti-bukti kebenaran yang dibawa oleh Musa. Sudah jelas sihir-sihir itu dikalahkan dengan mukjizat. Firaun tetap menafikan Musa walaupun tercengang apabila dicabar untuk menerbitkan matahari disebelah barat dan menengelamkannya di sebelah timur.  Sudahlah kalah berhujah, malah sombong tidak mahu mengaku kalah dengan kebenaran. Itulah sifat golongan kiri. Lalu dikejarnya Musa dan rombongannya sehingga ke laut Merah. Lalu diperlihatkan lagi mukjizat yang hebat, dibukakan laluan air melintasi lautan Merah untuk Musa. Tidakkah mereka memikirkan keadaan itu, yang mana mustahil untuk dilakukan mana-mana manusia melainkan dibantu oleh yang Maha Berkuasa yang tidak terkalah. Firaun menafikan apa yang dilihat oleh matanya dan terus mengejar sehingga ketengah lautan. Sehinggalah Allah telah membuat ketetapan azab untuknya lalu dikekalkan jasadnya untuk dijadikan pengajaran bagi kaum yang berfikir.

Kaum musyrikin Mekah juga menjadi antara kaum-kaum yang menafikan kebenaran setelah datang keterangan dari Allah, melalui Rasullulah. Mereka menafikan kemuliaan Nabi Muhammad dan ajarannya. Mereka menafikan ayat-ayat Allah yang dibacakan dihadapan mereka. Mereka menafikan mukjizat terbelahnya bulan seperti yang mereka pinta. Mereka menafikan kesesatan amalan nenek moyang mereka. Tetap dengan Latta dan Uzza. Begitu juga bangsa yahudi laknatullah.  Mereka paling tahu pasal kedatangan Nabi akhir zaman. Mereka paling kenal sifat-sifatnya. Bila lahirnya Nabi akhir zaman mereka menafikan kenabiannya oleh kerana bukan dari bangsa yahudi. Sudah jelas ciri-ciri nabi akhir zaman pada peribadi Rasulullah. Sudah jelas seperti yang terdapat dalam kitab-kitab mereka. Tapi tetap dinafikan.

Kebenaran itu sifatnya jelas dan nyata. Hanya nafsu dan kesombongan yang akan menafikan kebenaran. Seperti yang pernah berlaku dalam sejarah. Bukanlah mereka itu tidak punyai akal dan perasaan untuk memikirkannya. Tetapi mereka sombong dan mengikut nafsu. Mereka mahu kekal . Mereka mahu bebas berbuat sesuka hati. Mereka mahu apa yang mereka mahu walaupun ianya adalah tidak benar. Mereka akan mati-mati menafikan kebenaran selagi mana kebenaran itu bertentangan dengan kepentingan mereka.


Jangan hidup dalam penafian. Tetaplah bersama yang benar. 




p\s . GST tu zalim. Cukai tidak boleh dikenakan kepada orang yang tidak layak (miskin). Bantah GST supaya bantahan ini boleh dijadikan saksi didepan Allah. Kita pernah menentang kezaliman.  http://bantahgst.com 


Monday 20 April 2015

KAWIN

بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillahirrahmanirrhim .


“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/keturunannya, karena kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))


Nasihat Nabi dan juga sebenarnya merupakan perintah untuk memilih calon isteri. Ramai yang melihat ini hanyalah semata-semata nasihat untuk lelaki. Jika dipandang lebih luas, dari sisi lain, ia sebenarnya juga saranan dan juga tips untuk wanita supaya dipilih menjadi calon isteri. 

Dalam keadaan hidup di akhir zaman ini, dimana kuantiti wanita lebih banyak daripada lelaki menyebabkan ramainya anak gadis yang masih belum berkahwin. Di tambah lagi dengan mentaliti feminism yang mengutamakan kerjaya berbanding fitrah menyebabkan mereka selesa untuk hidup sendiri. 


Daripada Anas r.a. berkata, "Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Di antara tanda qiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus limapuluh orang perempuan."
(H.R. Bukhari Muslim)


Pernah terdengar luahan, dimana wanita tulen terpaksa bersaing dengan kaum gay, dan juga transexual untuk mendapatkan lelaki tulen. Sudah lah sikit yang berkualiti, banyak pula persaingan. Ini lebih mengeruhkan keadaan. 

Jadi, perhatikanlah hadis ini. Sesungguhnya ia bukan lah sekadar nasihat yang biasa-biasa. Nasihat ini kesannya besar jika diambil perhatian. Dapat merubah sebuah masyarakat, kerana perkara induknya iaitu seorang wanita yang akan menjadi ibu, yang akan melahirkan zuriat, dari zuriat akan melahirkan keluarga. Dari keluarga yang ramai akan menghasilkan masyarakat. Dari banyaknya masyarakat menghasilkan banyaknya rakyat. Dari rakyat baik akan menghasilkan negara yang harmoni tanpa GST.

Sesungguhnya jika pun kamu punya harta yang banyak. Jika pun kamu punyai keturunan yang baik. Jika pun kamu punyai kecantikan mulus. Tapi jika tidak punya agama maka jumlahnya tetap kosong walau ada yang memilih kamu sebagai isteri. Dengan agama , kamu berakhlak. Dengan agama kamu kan redha. Dengan agama kamu akan faham. Dengan agama, maruahmu terpelihara. Dengan agama, Allah redha keatas kamu. Apa lagi yang manusia mahu selain redha Allah ? 

Jadi jangan sedih wahai wanita, jika tidak punya harta, keturunan dan rupa. Hiasilah diri dengan agama, maka kamu kan jadi pilihan utama . Yang lebih elok lagi, sesiapa yang memilih mu kerana agama, sudah tentu lelaki itu mengambil berat akan hadis ini. Sudah tentu mereka sendiri mengambil berat akan agama. Tidakkah itu yang kebanyakkan hijabster mahu? Menjadi imam halalku?

Tapi jika ada harta, keturunan dan rupa plus agama. Itu bagus, Alhamdulillah. 

Jika terlepas memilih dan dipilih kerana sudah berkahwin, usahakanlah menjaga agama. Allah tidak akan sia-siakan usahamu. Hidup ini bukan main-main. Hidup bukan semata-mata bercinta. Jangan khayal bercinta menjadikan punca utama hidup. Tiada cinta yang lain melainkan cinta Allah dan yang berkait. Jangan meraih cinta pasangan, sehingga ku menanti mu dipintu syurga, sedangkan dengan mungkar nakir pun belum tentu lepas. 

Usahakanlah hidup beragama, walau terpaksa google. Jangan peduli mereka yang mencemuh. Sedangkan tanggungjawab lebih banyak daripada umur. Jangan buang masa sampai nyawa dihalkum, baru nak cari surah Yasin. 

Hiduplah dengan Islam. 



Sesungguhnya aku bukan yang baik dan terbaik . Belum tentu terlaksana apa yang ditulis. Tapi ku berharap tulisan ini penambah berat amalku dimizan.