Thursday 29 March 2018

PENGANTAR AL-QURAN - MUKJIZAT

1. Pendahuluan.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

            Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kitab Al-Quran sebagai petunjuk bagi setiap manusia. Manusia yang telah diciptakan Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini tidaklah dibiarkan mentadbir bumi sesuka hati, kerana ternyata kesilapan umat yang terdahulu yang telah saling menumpahkan darah sesama mereka sehingga dipersoalkan oleh para Malaikat .


Allah Ta’ala berfirman,
”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata:”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau”. Rabb berfirman:’Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’ “.

(Al-Baqarah – 30)

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kita tidak ketahui. Lalu penciptaan manusia sebagai khalifah dimuka bumi itu dibekalkan sekali wahyu-wahyu sebagai petunjuk kepada manusia cara-cara mentadbir bumi. Bermula dari Nabi Adam, Nuh dan Ibrahim melalui suhuf-suhuf, juga dalam bentuk kitab yang lengkap seperti Zabur, Taurat, Injil dan diakhiri dengan Al-quran yang merupakan kitab paling lengkap dan sempurna yang diturunkan kepada semulia-mulia makhluk dan penghulu segala Nabi iaitu kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W.

Al-quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w  yang telah dianugerahkan oleh Allah. Ia merupakan kitab yang terunggul, yang paling lengkap, dan juga membenarkan kitab-kitab terdahulu. Berbeza dengan kitab-kitab sebelumnya, kandungannya terpelihara dari penyelewengan tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab seperti yang telah berlaku kepada Taurat dan Injil .

Allah berfirman :
‘’Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya” (Al-Hijr : 9)



2. Konsep Mukjizat

Definisi mukjizat dari segi bahasa nya bermaksud ‘pengesahan kepada ketidakmampuan untuk menghasilkan sesuatu’. Ianya merujuk kepada firman Allah.

“Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Kabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayit saudaranya. Berkata Kabil: "Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayit saudaraku ini?" Karena itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal”. (Al-Maidah – 31).


            Perkataan mukjizat berasal dari perkatan arab ‘ajaza yang bermaksud, lemah. Mukjizat juga boleh dimaksudkan sebagai yang melemahkan, yang mengalahkan atau yang membuatkan musuh tidak mampu melawan apa yang dipersembahkan demi untuk menunjukkan kebenaran para nabi itu sebagai utusan Allah. Mukjizat juga sebagai bukti kebenaran para rasul Allah menyampaikan risalah bahawa tiada tuhan selain-Nya, dimana Dia berkuasa mendatangkan sesuatu yang luar biasa, samaada ianya untuk mengalahkan musuh seperti yang berlaku pada Nabi Musa dengan tukang sihir Firaun, juga sebagai keupayaan yang luar biasa untuk menarik minat kaum masing-masing seperti kebolehan Nabi Isa mengubati pesakit. Ibnu Khaldun berkata bahawa mukjizat itu adalah suatu perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia dan tidak berada didalam lingkungan kemampuan mereka.

            Kesimpulannya, konsep mukjizat adalah bagi menegaskan kebenaran seorang nabi yang diutus Allah dengan sifat-sifat atau kebolehan istimewa bagi mengalahkan musuh-musuh yang ingkar akan kenabian, juga sebagai pesona yang boleh menambahkan dan meneguhkan keimanan pengikut nabi-nabi terhadap risalah-risalah yang dibawanya.


3. Jenis-jenis Mukjizat Al-quran


Al-quran merupakan mukjizat terunggul yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.  Mukjizat Al-quran tidak terhitung bilangannya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Adapun terdapat beberapa jenis mukjizat didalam Al-quran yang telah dikenal pasti oleh para ulama. Sebahagian jenis- jenis mukjizat Al-quran adalah seperti berikut :


3.1 – Mukjizat Bahasa/Sastera.
           
            Nabi Muhammad s.a.w diutuskan didalam masyarakat Arab Quraish yang memandang tinggi kesenian kesusteraan bahasa. Mereka amat mahir dengan kesusteraan sehingga mereka yang pandai bersyair mendapat kedudukan mulia. Syair-syair mereka juga akan tulis dan ditampal di dinding kaabah menandakan ketinggian seni bahasa mereka. Apabila Nabi Muhammad menyatakan kerasulan nya dan membacakan ayat-ayat suci Al-quran, mereka terpukau dan terkejut. Kerana yang mereka kenal Muhamad itu bukan lah ahli syair. Muhammad juga seorang yang ummi, iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Adalah mustahil untuk Nabi Muhammad belajar syair.

Bahasa Al-quran itu mempunyai nilai kesusteraan yang amat tinggi sehingga tidak mampu ditandingi oleh sesipa pun pada waktu itu, hatta sampai bila-bila pun.  Terdapat beberapa firman Allah yang mencabar manusia untuk membuat sesuatu seperti Al-quran. Antaranya ialah .


Bahkan mereka mengatakan Muhammad membuat-buatnya. Katakanlah: “Kalau benar yang kamu katakana itu maka cubalah datangkan satu surah yang sama dengannya dan panggillah siapapun yang dapat kamu panggil selain Allah jika kamu orang-orang yang benar

.Surah Yunus, Ayat 38:

 

Keajaiban bahasa Al-quran itu terletak pada susunan ayat nya yang bukan saja mempunyai ritma, tetapi kepadatan ayatnya yang memberi banyak makna . Cara bacaan juga istimewa kerana terdapat makhraj dan tajwid yang perlu diikuti supaya mencapai maksud sebenar dan boleh memberi kesan ketenangan secara tidak langsung kepada pembaca dan juga pendengarnya.


3.2 Mukjizat Ilmu.

Al-quran merupakan kitab yang penuh dengan mukjizat ilmu. Sehingga kini masih menjadi tumpuan para pengkaji Islam mahupun barat kerana ternyata banyak sekali ilmu-ilmu didalamnya. Sebagai contoh Al-quran telah menyebut berkenaan penciptaan manusia melalui persenyawaan air mani dan ovum dan pembiakan janin didalam rahim ibu, seribu tahun dahulu dan kini  telah terbukti kebenarannya melalui kajian-kajian dan penggunakan alat-alat moden pada masa kini.  Antara cabang ilmu didalam Al-quran itu adalah termasuk, sains, teknologi, fizik. Astronomi, biologi dan pelbagai lagi yang masih belum diterokai. Ada dikalangan orentalis yang mengkaji Al-quran akhirnya memeluk Islam kerana terpegun dengan kebenarannya bahawa ia adalah tulen dari Allah Maha Bijaksana.   


"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, niscaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat-kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (QS. Luqman 31: Ayat 27)

           
3.3 Mukjizat Hukum Syariat.

            Allah menurunkan Al-quran lengkap dengan panduan sosial kepada manusia sebagai memenuhi tuntutan tugas khalifah dimuka bumi. Antaranya yang terpenting adalah undang-undang. Al-quran dengan jelas telah mengariskan beberapa hukum yang perlu di laksanakan dimuka bumi bagi mencapai kesejahteraan. Hukum syariat digariskan meliputi hubungan dengan pencipta, manusia sesama manusia, dan hubungan dengan alam sekitar. Al-quran juga  mendahului dalam menentukan  peraturan hubungan diplomatik dan juga peraturan di medan perang.

            Manusia yang kafir dan ingkar cuba membuat hukum-hukum dengan akal mereka sendiri dalam mentadbir bumi, tetapi ternyata tetap tidak boleh menyelesaikan masalah malah menjadikan keadaan semakin buruk. Berbeza dengan hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah, dimana Allah sendiri telah menjamin bahawasanya " Nakalam minallah "; sebahagian dari pencegahan dari Allah" (Al-Maidah -38).  Orang-orang beriman yakin dan patuh terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah, walaupun tidak mengetahui objektif atau kebaikan disebalik undang-undang tersebut. Tetapi mereka beriman dan yakin bahawa Allah telah menetapkan untuk kebaikan manusia itu sendiri.  

            Secara amnya, hukum-hukum yang terdapat dalam Al-quran itu terbahagi kepada beberapa aspek iaitu Undang-undang ekonomi, politik, sosial dan kemasyarakatan, serta hukum didalam beribadah. Terdapat hukum-hukum yang bersifat umum dan dasar sedangkan perinciannya diberi ruang untuk ulama-ulama berijtihad. Juga terdapat hukum-hukum yang terperinci seperti hukum hutang-piutang dan harta pusaka.




4. Kesimpulan

            Apa yang disebutkan diatas dari jenis-jenis mukjizat Al-quran adalah hanya sebahagian yang terkenal dan banyak diperkatan para ulama. Adapun pada hakikatnya mukjizat itu tidak terhitung. Antara lain-lain jenis yang dikatakan para ulama ialah mukjizat syifa’ (penyembuhan). Dimana berkat ayat Al-quran itu dapat menyembuhkan penyakit samada berkaitan kesakitan biasa ataupun kerasukan jin dan syaitan. Ia juga dikatan mempunyai mukjizat berita-berita ghaib yang menceritakan kisah-kisah terdahulu dan juga masa hadapan.
 Ada juga ulama yang membuat kajian berkenaan mukjizat dari segi nombor, dimana pengiraan bilangan-bilangan ayat, huruf dan beberapa perkataan itu seimbang dan juga terdapat petunjuk disebalik nombor-nombor tersebut. Ulama terkenal dari Riau Indonesia, Ustaz Abdul Somad Lc MA, melalui kuliahnya bertajuk ‘ 5 Mukjizat Al-quran ‘ (2017) menyatakan bahawa Al-quran itu terdapat  5 jenis mukjizat, iaitu mukjizat turunnya (cara wahyu turun), mukjizat mendengarnya, mukjizat membacanya, mukjizat isinya dan mukjizat sebagai pemberi syafaat di akhirat.





5. Penutup

Begitulah sifat Al-quran sebagai kitab mukjizat paling agung. Semakin dikaji semakin banyak ilmunya.  Membenarkan salah satu asma Allah iaitu ‘Al-Alim’(Maha Mengetahui). Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi ada menyatakan ketika memulakan kuliah Tafsir Al-Quran nya pusingan ke-3 pada Mei 2016,

“Al-quran adalah mukjizat ilmu, petunjuk Allah sehingga hari kiamat. Membacanya walaupun beribu kali akan tetap ada perkara baru kita akan bertemu. “

Semoga kita dapat belajar dan beramal dengan Al-quran dan menjadikan ianya sahabat karib supaya ia dapat menjadi hujah dihadapan Allah kelak.





Fadli Ramli 
29 Mac 2018