Tuesday 16 December 2014

Jika Anda - 2

Bismillah.

Assalamualaikum.

Sambungan dari Jika Anda - 1 


Jika anda seorang Samseng.
I know, u samseng pun u mahu masuk syurga. So bacalah kisah Khalifah Umar Al-Khatab. Masa zaman jahiliyah dia samseng, ramai manusia takut. Lepas masuk Islam, dia samseng, Syaitan yang takut. Apatah lagi manusia. Jika Umar samseng berjuang Islam. Takkan kita nak samseng berjuang Melayu ?

Jika anda seorang Wanita / Ibu / Isteri
Bacalah kisah wanita-wanita hebat dalam sejarah. Ummul Mukminin Khadijah. Siti Aisyah dan Isteri-isteri Nabi Muhammad saw yang lain. Kisah Sumaiyah. Kisah Asiah isteri Firaun. Kisah Masyitah, tukang sikat Firaun. Kisah Ibu bersama anak yang terjun kedalam parit dalam kisah Ashabul Uhdud. Kisah Maryam. Kisah Siti Hajar. Kisah Fatimah Bt Rasulullah. Kisah Zainab Al-Ghazali. Matlamat hidup bukan semata-mata untuk bahagia dengan cinta suami dan anak-anak sehingga cucu di teratak 'home sweet home'.  Matlamat hidup adalah untuk redha Allah, walaupun kadang-kadang terpaksa dicelup dalam minyak panas sehingga mati. Walaupun terpaksa ditinggal suami ditengah padang pasir kontang. Tidaklah kita sampai ke tahap itu lagi, cuma sebagai pemahaman matlamat.

Jika anda terlibat dalam Poligami.
Siapakah yang manusia paling mulia yang berpoligami ? Sudah tentu Nabi Muhammad saw. Bacalah kisah Baginda dan isteri-isterinya. Juga Nabi Ibrahim yang beristeri dua. Nabi Sulaiman juga berpoligami.

Jika anda seorang anti kerajaan 
Maka itu bukanlah perkara asing. Para Nabi juga ada yang anti kerajaan, termasuk Musa anti kerajaan Firaun. Padahal Musa membesar dalam istana Firaun. Nabi Ibrahim juga anti kerajaan Namrud. Padahal bapanya adalah supplier berhala dizaman kerajaan Namrud. Begitu juga Ghulam dalam kisah Ashabul Uhdud yang menentang kerajaan, padahal kerajaan membiayai biasiswa beliau dalam membuat Master In Sihir. Fahamkan kerana apa mereka semua anti kerajaan masing-masing. Patahkan hujah 'tidak berterima kasih pada kerajaan'.

Jika anda dipihak kerajaan.
Maka itu juga tidak asing. Manusia paling mulia dalam sejarah bumi juga mempunyai kerajaan. Iaitu Nabi Muhammad saw menjadi Perdana menteri negara Islam di Madinah. Juga Nabi Sulaiman yang mana kerajaannya menguasai dunia, manusia malah binatang dan jin. Nabi Yusuf, walaupun tidak menjadi ketua kerajaan, tetapi beliau berkhidmat dengan kerajaan Mesir sebagai menteri.  Baca dan fahamkan pula, jenis kerajaan macam mana yang diredhai Allah.

Jika anda Manusia. 
Bacalah dan fahamkan Al-quran. Sebab Al-quran itu petunjuk untuk manusia. Petunjuk dari semua segi. Ikutlah Nabi Muhammad, sebab Nabi itu Al-quran bergerak. Nabi penterjemah Al-quran. Nabi paling faham Al-quran. Memang tidak mampu untuk terus faham mengenai Al-quran. Jadi kena rujuk para ulama. Kene ikut para ulama yg faham. Kena belajar kenal ulama. Jadi jika anda benar manusia, maka anda akan mati. Bila mati akan disoal. Persoalannya, adakah kita akan mati mengikut petunjuk dari Al-quran dan sunnah? Jika tidak, apa nak jawab didepan Allah? Sedang umur telah diberi. Sedang akal telah diberi. Sedang keupayaan telah diberi. Sedang peringatan telah diberi. Mustahil untuk menjawab tiada masa dan tiada upaya. Allah Maha Mengetahui apa yg kita buat.


Penulis bukanlah seorang yang alim. Bukanlah yang paling faham. Mungkin yang terkemudian membaca itu akan lebih faham. Jika dah faham, berilah faham kepada orang lain. Jika tak mampu berkata maka gunalah keyboad, wahai warrior. 


Assalamualaikum.

Jika Anda - 1

Bismillah.

Assalamualaikum.


Kebanyakan cerita-cerita terdahulu diceritakan untuk kita belajar dan mengambil peringatan.  Ianya bukan sekadar buku cerita khayalan. Disitu terdapat nya tips, motivasi, jawapan, peringatan, dan sebagainya. Jadi jika dizaman sekarang terjadi, bukanlah kita yang pertama menghadapinya. Malah telah dihadapi oleh orang-orang yang terdahulu. 

Ada beberapa contoh boleh dijadikan panduan jika anda berada di situasi tertentu dan kisah yang berkaitan yang boleh dikaitkan.


Jika anda seorang yang kacak (His sad face is hotter than your hottest face?)
Bacalah kisah Nabi yusuf yang digoda wanita cantik bangsawan. Juga kisah lelaki kacak di zaman pemerintahan khalifah Umar yang dibuang daerah.

Jika anda seorang wanita yang cantik rupawan.
Bacalah kisah Atiqah. Isteri para syuhada. Sudahlah cantik, pandai bersyair. Menjadi isteri kepada para syuhada lagi. Kecantikannya tidak menjadi fitnah. tidak kearah maksiat.

Jika Anda Sakit.
Bacalah kisah Nabi Ayub.

Jika anda sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak.
Bacalah kisah Nabi zakaria. Juga Kisah Nabi ibrahim dan Sara yg dikurniakan anak di usia yg sudah tua. Terdapat doa-doa yang khusus yang boleh diamalkan.

Jika anda seorang ibu yang mengandung.
Bacalah kisah cabaran dan kepayahan Maryam yang mengandungkan Nabi Isa seorang diri. Juga kisah ibu Nabi Musa yang mengandung dan melahirkannya dalam keadaan terancam oleh tentera firaun yang ingin membunuh bayi lelaki bani Israel.

Jika anda ibu tunggal.
Bacalah kisah Maryam ibu Nabi Isa. Juga kisah Siti Hajar menjaga anaknya Nabi Ismail yang ditinggalkan ditengah padang pasir kering di Mekah. Walaupun dia bukanlah ibu tunggal.

Jika anda diuji oleh ahli keluarga yang degil dan tidak mau beriman.
Bacalah kisah Nabi Nuh. Berdakwah lebih 900 tahun tapi anak sendiri dan isteri tidak beriman. Juga Kisah Nabi Luth. Isterinya juga termasuk orang-orang yang menerima azab. Juga Nabi Muhammad. Uncle kesayangan tidak beriman walaupun melindunginya. Walaupun orang yang terdekat dan kesayangan degil dan tidak beriman mereka masih terus melakukan dakwah. Nilai yang perlu dicontohi. Jangan lemah dgn orang2 yang berkata "jagalah ahli sendiri sebelum sibuk ahli orang lain ". Allah yang mengubah hati. Kita hanya perlu berusaha. Bacalah juga kisah Asiah yg bersuamikan orang yang teramat jahat dan zalim iaitu firaun.

Jika anda mengalami situasi rumahtangga bergolak. Atau penceraian. Atau ujian suami isteri yang jahat.
Bacalah kisah penceraian nabi  Muhammad dan Hafsah. Kisah Nabi ibrahim dan menantu. Kisah Nabi Ayub dan isteri. Kisah Abu Bakar menyuruh anaknya Abdullah menceraikan Atiqah. Juga kisah Asma bt Abu Bakar dan sahabat nabi Zubir bin awam yg bercerai. Kisah Umar meminta anaknya menceraikan isterinya. Juga Asiah yang bersuamikan manusia jahat Firaun.

Jika anda sedang bercinta. Samada suami isteri atau mencintai keluarga, anak atau sebagainya.
Bacalah kisah cinta Abdullah dan Atiqah yang mabuk cinta sehingga melalaikan. Kisah zulaikha yang mencintai Yusuf sehingga sanggup mengikut nafsu. Kisah Ibrahim, ketaatannya mengatasi cinta kepada Hajar dan anaknya Ismail. Cinta Khadijah kepada Nabi Muhammad.

Jika Anda cinta Nabi Muhammad. 
Bacalah kisah para sahabat-sahabat nabi. Tiada manusia yang paling cinta Nabi dikalangan umatnya melainkan para sahabat r.a. Tiada manusia yang paling rindu dan kasih nabi melainkan para sahabat yang rapat dengannya. Bacalah kisah Bilal bin Rabah yang terlalu cinta dan rindu Nabi. Lalu membawa diri dengan berjihad di Palestin. Bacalah kisah rakan hijrah Nabi, yakni Abu Bakar. Juga sahabat-sahabat besar yang lain, termasuk Umar, Uthman, Ali , dan sahabat-sahabat yang lain. Tidak ditemukan didalam sejarah mereka-mereka yang sangat mencintai nabi ini, hanya sekadar duduk membuat majlis selawat beramai-ramai. Tidak ditemui dalam sejarah sahabat, yang paling faham nabi, berqasidah, bernasyid, bermaulid beramai-ramai di tempat awam. Tetapi yang tiada khilaf, tanda mereka cinta dan kasih nabi ialah dengan berjihad meneruskan perjuangan Nabi. Membina Negara dengan Islam. Menegakkan syariat Allah dimuka bumi. Mencegah yang mungkar dan menyuruh yang baik. Bukan tidak boleh 'laukana bainana' atau 'yahanana'. Tapi itu bukan keutamaan. Jika pun itu perkara utama, sudah tentu didahului oleh Abu Bakar dan para sahabat lain. 


Jika anda seorang yang kaya.
Bacalah kisah Abdul Rahman bin Auf. Uthman bin Affan. Kisah Qarun proxy Firaun. Juga kisah Al-Walid bin Al-Mughirah, si kaya yang dilaknat Allah didalam Al-Quran.

Jika anda seorang yang miskin.
Bacalah kisah Nabi Muhammad. Dapur tak berasap berbulan. Tidak pernah kenyang selama 2 hari berturut-turut.  Mengikat perut dengan batu. Kisah Nabi Ayub. Diuji dari seorang yang kaya raya menjadi miskin. Kisah Umar bin Abdul Aziz. Seorang yg miskin selepas bergelar khalifah sehingga tiada harta untuk diwariskan kepada anak-anaknya.

Jika Anda Seorang YB. 
Bacalah kisah Said Bin Amir, Gabenor Homs di zaman Umar Al-Khatab .

Jika Anda seorang Presiden/ Perdana Menteri / Politician/ Raja
Bacalah kisah-kisah Nabi Muhammad sebagai Perdana Menteri negara Islam yang pertama berpusat di Madinah yang berasaskan Islam dari semua segi termasuk, Undang-undang syariah dan ekonomi. Sehingga menjadi kuasa besar dunia. Bacalah kisah-kisah Khalifah Al-Rasyidin, juga Umar Abdul Aziz. Kajilah pendekatan politik Islam yang diajarkan Nabi dan ijtihad para sahabat yang faham (faqih).

Manakala, jika anda seorang Raja atau Sultan, Bacalah kisah Nabi King Sulaiman. Kerajaannya dari barat ke timur. Bukan sahaja manusia tunduk, malah burung, angin dan Jin juga tunduk kepada pemerintahannya. Tetapi dia tetap seorang yang menyerah diri (Islam)

Sebagai peringatan azab, bacalah kisah perdana menteri atau raja Mesir. Pemimpin yang membawa kemajuan, kemodenan kepada Mesir di zaman itu sehingga menjadikan dirinya angkuh. Pendekatan politik yang zalim yang membunuh/mendera rakyat (Bani Israel). Kalau kisah yang moden sikit, Bacalah kisah Pemimpin Sekular Turki yang terkenal. Kamal Altartuk. Yang langsung secara terang membuang elemen-elemen Islam warisan Uthmaniah.

Jika Anda Para Pemuda
Bacalah kisah Pemuda-Pemuda Kahfi. Sanggup lari dan duduk didalam gua demi menyelamatkan aqidah. Bacalah kisah seorang pemuda didalam kisah Ashabul Uhdud.

Jika Anda seorang Student Tajaan. 
Bacalah kisah pemuda (Student) didalam kisah Ashabul Uhdud. Pemuda yang ditaja oleh kerajaan untuk belajar ilmu Sihir. Kemudian akhirnya pemuda itu melawan kerajaan tersebut. Adakah dia seorang yang tidak mengenang budi ?

Klik sini untuk kuliah - Kisah Ashabul Uhdud

Jika Anda Difitnah / Dizaman Fitnah.
Bacalah kisah Aisyah yg difitnah. Juga kisah Nabi Yusuf yang difitnah Zulaikha yang mengatakan Yusuf yang cuba menggodanya sehingga membawa beliau dipenjarakan. Yang lebih dasyat lagi fitnah besar terhadap Umat Islam setelah kewafatan Nabi, iaitu di zaman Khalifah Uthman. Sehingga umat Islam membunuh/berperang sesama sendiri. Jadi sesuai dengan kita yang hidup diakhir zaman ni, dimana fitnah berleluasa. Fitnah liwat, fitnah video seks, fitnah terrorist, sehingga umat islam berperang sesama sendiri.

Jika Anda Seorang Pencinta Nafsu Sejenis atau Aktivis Hak Asasi Transgender atau Hakim di Negeri Sembilan.
Bacalah kisah Kaum Nabi Luth. Kaum yang mengikut hak asasi nafsu mereka, sehingga dibenarkan oleh masyarakat setempat, seolah-olah itu perkara yang normal. Lihatlah kesudahan mereka. Juga kesudahan isteri Nabi Luth sendiri yang berjuang mempertahankan hak asasi kaumnya yang ternyata terpesong dari fitrah manusia. Ambil iktibar supaya kita tidak memperjuangkan hak kebebasan manusia mengikut nafsu.

Jika Anda Dipenjara Atas Sebab Yang Tidak Benar
Bacalah kisah Nabi Yusuf. Kisah Imam Ahmad. Kisah Ibnu Taimiyah dan murid nya Ibnu Qayyim Al Jauziyah yang dipenjara Syam. Kalau yang latest sikit, Kisah Syed Qutb, Buya Hamka. Penjara itu menjadikan mereka 'keyboard warrior' (berjuang melalui tulisan). Tokoh wanita pula, bacalah diari Zainab Al-Ghazali. Jadi jika anda dipenjara kerana berjuang sesuatu yang benar, atau menentang sesuatu yang salah sehingga terpenjara, berbanggalah kerana ia adalah sebahagian diantara jalan-jalan orang beriman yang lebih baik dari kita.

P/s - Jadilah warrior walau hanya dengan keyboard. Kalau mampu dengan percakapan, maka suarakan. Lebih baik, mampu dengan kuasa (politik), boleh kuatkuasakan undang-undang, amik tindakan. Selemah-lemahnya, jadilah warrior dalam hati, dengan membenci kekufuran.

Bersambung- Jika Anda -2 

Thursday 21 August 2014

IMANUJI

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah atas nikmat Islam. Atas nikmat nyawa dan akal. Atas nikmat rezeki dan isteri. Atas nikmat pengajaran selepas ujian.
Dikeluarkan oleh Ahmad dan At-Tabarani daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki telah mencerca Abu Bakar r.a. Ketika itu, Rasulullah SAW juga sedang duduk di sana. Baginda SAW tersenyum dan kehairanan melihatkan keadaan lelaki tersebut. Apabila lelaki itu mula bersikap kurang ajar terhadap dirinya, Abu Bakar r.a. pun membalas beberapa kata lelaki tersebut. Dengan yang demikian, Rasulullah SAW menjadi amat marah lalu bangun dan diekori oleh Abu Bakar r.a.. Abu Bakar berkata kepada Rasulullah SAW: "Lelaki itu bersikap kurang ajar terhadap diriku, oleh kerana itu aku membalasnya. Apabila aku mula membalasnya, kamu meninggalkan kami di tempat itu".
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu tidak membalas kata-katanya, terdapat malaikat yang membalasnya untuk kamu. Walau bagaimanapun apabila kamu mula membalas kata-kata kesatnya itu syaitan mula mengambil tempat dan duduk di antara kamu. Oleh yang demikian, aku tidak mahu duduk bersama-sama dengan syaitan".

Bagaimana nabi mengajar sahabatnya tentang sabar.  Allah telah berfirman:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (Al-Ankabut:2-3).  
"Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya." (Al-Kahfi:7-8) 
"Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35).
Maha suci Allah. Kita semua meng'claim' mengatakan kita beriman. Sering mengklaim seorang yang sabar. seorang yang cool seorang yang tidak mudah marah. Malah berbangga bila ia diiyakan orang kiri dan kanan. Sedang Allah telah mengingatkan. "wahai coolman, engkau masih belum diuji. Adakah engkau rasa engkau sudah beriman? "

Jika Khalifah Abu Bakar yang mulia itu pun diuji, juga terlepas nafsu marahnya. Sedangkan iman Abu-Bakar itu diakui Rasulullah : “Jika ditimbang iman Abu Bakar As Siddiq dengan seluruh umat manusia, nescaya berat lagi iman Abu Bakar”. Apatah lagi iman kita yang mungkin tidak sampai seberat kapas. Allahurobbi. Bukanlah bermaksud jika Abu bakar itu pun gagal maka tidak mengapa kita mengikut nafsu oleh kerana iman yang nipis. Tapi sebagai iktibar dan motivasi. Sememangnya manusia itu akan diuji. Dan ujian itu datang dari pelbagai sisi, sehingga bukan sahaja dari musuh yang nyata, malah orang yang paling rapat dan dikasihi juga. Sebagaimana Asiah diuji kezaliman Firaun, Nabi Lut diuji pengkhianatan isteri. Sebagaimana Nuh diuji perasaan kasih melihat anaknya yang kufur itu lemas. Atas kehendak Allah mereka semua berjaya menghadapi ujian yang dasyat ini , dan kisah ini patut menjadi iktibar kepada kami semua yang patut lebih sabar walaupun sebesar mana ujian.

Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengasihani ke atas hambaNya. Memang benar kami menyatakan kami beriman, tapi kami takut akan ujian yang akan menafikan kenyataan iman kami. Kami menyatakan Islam, tapi kami tidak taat kepadamu. Kami mengasihi Nabi Muhamd s.a.w, tapi kami ingkar. Kami mengaku bersalah. Memang benar kami mengikut nafsu. Maafkanlah kami atas itu. Berilah kebaikan dan ketinggian darjat kepada orang yang telah kami zalimi. Dan kasihanilah kami. Janganlah biarkan kami terus menerus mengikut nafsu. Perelokkanlah perbuatan kami, perelokkanlah perkataan kami, perelokkanlah akhlak kami. Kurniakanlah kami sabar yang mana mati itu batasnya. Kami redha diatas takdir dan ujian mu. Tiadalah kami harapkan melainkan redha Mu.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Al-Baqarah 286)

Semoga, kita semua kembali bila diuji. Semoga kita semua sabar sehingga mati. Dan mati itu mungkin sekejap lagi.

Allahurobbi.

Wednesday 23 July 2014

Bercelaru. Flu

Bismillah. 

Segala puji bagi Allah atas nikmat Islam. Segala puji bagi Allah atas kurniaan rezeki dan isteri. Atas kurniaan akal dan hati. Atas kurniaan mata dan telinga. Atas kurniaan tubuh badan yang sempurna, dan atas segala-galanya.

Dunia sedang bercelaru

Palestin diserang bertubi-tubi. Rohingya muslim ditindas. Peperangan di Syria dan Iraq. Muslim dibunuh. Melawan dan menyokong dilabel militan. Anak kecil kebulur. Ibu kakak dirogol. Rumah dibakar di bom. Anak pelarian makan rumput dicelah runtuhan, Tok syeikh Arab makan nasi sekawah. Makan didalam butik hotel dan bangunan tertinggi. Seluruh dunia berdemo save gaza. Negara2 Arab buat tak kisah, sibuk buat masjid mega. Rampasan kuasa di Mesir. Ketidakstabilan politik dan konflik diserata dunia. Berperang sesama sendiri. Terlupa siapa musuh utama. Kematian yg banyak. Jenayah berleluasa. Kenaikan harga barang. Keruntuhan matawang. Manusia bertindak diluar kewarasan. Tidak berakhlak. Penderaan dan penculikan kanak2. Musibah penerbangan atau konspirasi. Berita palsu dan samar-samar. Korupsi menjadi barah. Kebodohan dan kejahilan umat yg ramai. Mengabaikan fardu ain. Mengutamakan fardu kifayah. Menyuruh kebaikan, tapi tidak mencegah kemungkaran. Ilmu Agama dibelakangkan. Pemimpin yg korup. Menipu rakyat untuk mengisi poket sendiri. Menteri yang bukan ahli. Memisahkan agama dgn politik. Beragama hanya dlm masjid. Hiburan melampau hedonism. Kecelaruan liberalism. Ke-racism Nasionalism. Kerakusan kapitalism. Kesesatan sekularism. Kesyirikan Puralism. Penafian hak komunism dan socialism. Penipuan dalam demokrasi. Kebebasan suara dan hak melampaui fitrah manusia. 

Keraguan kehalalan makanan. Kefanatikan mazhab. Salah faham beragama. Perbezaan fatwa kenegerian. Mufti Zimbabwe lebih dapat perhatian dari 14 mufti tempatan. Ahli ugama berlaga dan dilagakan. Ahli ugama kejar dunia. Bidaah ibadah. Amal Islam tanpa feqah. Khurafat tok bomoh kelapa. Kelicikan orientalist mengambil kesempatan, untuk menyesatkan. Pengakuan Khalifah Islam di Iraq. ISIS atau FSA. Wahabi atau salafi atau Yahanana. Perang di Sabah. Ibu buang anak. Anak bunuh bapa. Bapa rogol anak. Murid pukul cikgu. Lelaki suka lelaki. Perempuan suka perempuan. Lelaki nak jadi perempuan. Perempuan nak jadi road bully, Perempuan berjuang feminism. Lelaki menuju dayusism. Keluarga porak keranda. Banyak andartu dan bujang tua. Perkahwinan disusahkan. Lebih adat dari ibadat. Punca rezeki bercampur haram. Mahu boikot, tetapi takut industri terjejas. Duit zakat berjuta. Asnab masih tidak terbela. Bagi makan orang miskin, nanti kena saman.Yang kaya makin kaya. Yang miskin makin miskin sambil dibodohkan dengan wang gula-gula untuk pilihanraya. Mempertahankan kalimah Allah. Tapi menolak hukum Allah. Merayakan Maulid Nabi. Tapi menafikan sunah dan hadith. Berulang alik umrah haji. Tapi nasionalis sampai mati. Provokasi perkauman dilayan. Share untuk mengapi-apikan.

Keluar rumah takut diragut. Duduk dirumah, takut dirompak. Hantar anak ke nurseri, takut didera. Nak jaga sendiri tiada masa, kene bekerja. Bekerja untuk membayar hutang. Berhutang dengan riba. Memufliskan anak muda. Graduan keluar universiti dengan ijazah dan surat bayaran faedah. Kalau tak bayar, nak gi Universal Studio Singapore pun susah. Yang kecil terdidik utk menyanyi. Yang remaja berebut borang nak masuk akademi fantasi. Yang tua berkilauan emas, kubur kata mari, dia masih steady..  "Syukur pada Tuhan atas rezeki dan bakat suara ini". Nak baca paper , ragu dengan berita. Nak tengok RTM dan buletin utama lagi la tak boleh percaya. Bersumber internet tiada tapisan pun bahayaFitnah umpama virus dalam angin lalu. Ditiup hampir pasti semua yang tiada antibiotic, terkena flu. Mengakibatkan perang boleh berlaku. Dan ia tetap akan berlaku. Bersedia atau belum, mahu atau tidak, kuat atau lemah. Ia tetap akan datang seperti yang diceritakan Nabi dahulu. Ini bukan dongeng ! Semua tanda-tanda itu tetap berlaku, seperti asingnya Islam itu. Tertindas tanpa kasihan sedangkan banyaknya kita seperti buih dilautan. 

Apa tindakan? Dimana rujukan ? Siapa kawan ? Apa bekalan ? 

Zaman yang selalu diceritakan dan didengarkan itu telah terzahir sedikit demi sedikit. Permulaan fasa terakhir kisah bumi sedang berlaku. Fasa terakhir yang sangat dasyat.  Berpijaklah pada bumi yang nyata. Yang nyatanya bumi itu akan hancur juga

Apa pilihan kita? 

Semoga berlalu Ramadhan ini dgn keadaan kita diampunkan. Semoga kita tidak tenggelam dalam kecelaruan. Semoga kita dalam kebaikan dan ketaatan. Semoga kita tahu apa yang perlu diutamakan. Semoga kita bukan sahaja menyuruh kebaikan. Malah mencegah kemungkaran. Semoga kita tidak bersama mereka yang zalim dan angkuh dengan Tuhan. Semoga hati yang buta itu, dicelikkan.

Semoga kita faham akan agama. Semoga kita mati dalam keadaan Allah redha. 

Selamat memburu malam 1000 bulan.

Selamat Hari Raya.

Minta Maaf.

Sesungguhnya Allah itu Maha pengampun, dan suka mengampun, aku harap kamu pun. 




Assalamualaikum.