Thursday 30 April 2015

NAFI

بسم الله الرحمن الرحيم
Bismillahirrahmanirrhim .


Hidup ini bukan main-main. Jantung diberikan nyawa, Otak diberikan akal. Badan diberikan tenaga bukanlah untuk disia-sia. Semua akan dinilai semula di hari perhitungan. At the end of the day, disana cuma terdapat 2 golongan. Golongan kanan dan golongan kiri. Golongan kanan ke Syurga yang penuh nikmat. Golongan kiri ke Neraka yang penuh azab. Antara sifat yang ada pada golongan kiri ialah NAFI. iaitu sifat menafikan kebenaran.

Menyelusuri sejarah kehidupan manusia, Syaitan yang sebenarnya seorang ahli ibadah, telah berani ingkar untuk tidak tunduk kepada Adam seperti yang di perintahkan oleh Allah. Syaitan menafikan kemuliaan Adam kerana berasa sombong keatas diri sendiri, mengangkat diri sendiri lebih mulia daripada Adam. Tiada kata maaf setelah dilaknat, malah meminta izin untuk dipanjangkan umur dan kebenaran untuk menyesatkan keturunan Adam atas dendam. Maka bermulalah siri PENAFIAN manusia terhadap KEBENARAN yang telah dibawa oleh para Rasul.

Sepertimana yang berlaku di era pemerintahan Namrud. Sudah nyata dan terang tentang betapa palsunya berhala-berhala tersebut. Setelah sesi perdebatan dan penghujahan logik dari Nabi Ibrahim. Namrud tetap menafikan kebenaran. Hatinya yang telah hitam tetap menafikan betapa berhala yang memegang kapak itu adalah tuhan palsu. Tidak mampu bergerak malah menyelamatkan diri sendiri dari dikapak juga tidak boleh. Namrud seboleh-boleh menafikan fakta itu. Marah kerana tidak dapat berhujah, Namrud menghukum untuk membakar Nabi Ibrahim. Sudahlah kalah berhujah, dihukum pula orang yang benar. Sekali lagi terjadi ujian terhadap Namrud, apabila matanya melihat musuhnya yang dibakar itu tidak lut oleh api . Tuhan Ibrahim telah menyelamatkannya dari api tersebut. Walaupun melihat sendiri didepan matanya, Namrud tetap memilih untuk hidup dalam penafian.

Sejarah turut merakamkan kisah penafian dari taghut yang mahsyur sepanjang zaman iaitu Firaun. Bagaimana Firaun menafikan kebenaran yang telah diserukan oleh Nabi Musa dan Harun. Sudah nyata tanda-tanda dan bukti-bukti kebenaran yang dibawa oleh Musa. Sudah jelas sihir-sihir itu dikalahkan dengan mukjizat. Firaun tetap menafikan Musa walaupun tercengang apabila dicabar untuk menerbitkan matahari disebelah barat dan menengelamkannya di sebelah timur.  Sudahlah kalah berhujah, malah sombong tidak mahu mengaku kalah dengan kebenaran. Itulah sifat golongan kiri. Lalu dikejarnya Musa dan rombongannya sehingga ke laut Merah. Lalu diperlihatkan lagi mukjizat yang hebat, dibukakan laluan air melintasi lautan Merah untuk Musa. Tidakkah mereka memikirkan keadaan itu, yang mana mustahil untuk dilakukan mana-mana manusia melainkan dibantu oleh yang Maha Berkuasa yang tidak terkalah. Firaun menafikan apa yang dilihat oleh matanya dan terus mengejar sehingga ketengah lautan. Sehinggalah Allah telah membuat ketetapan azab untuknya lalu dikekalkan jasadnya untuk dijadikan pengajaran bagi kaum yang berfikir.

Kaum musyrikin Mekah juga menjadi antara kaum-kaum yang menafikan kebenaran setelah datang keterangan dari Allah, melalui Rasullulah. Mereka menafikan kemuliaan Nabi Muhammad dan ajarannya. Mereka menafikan ayat-ayat Allah yang dibacakan dihadapan mereka. Mereka menafikan mukjizat terbelahnya bulan seperti yang mereka pinta. Mereka menafikan kesesatan amalan nenek moyang mereka. Tetap dengan Latta dan Uzza. Begitu juga bangsa yahudi laknatullah.  Mereka paling tahu pasal kedatangan Nabi akhir zaman. Mereka paling kenal sifat-sifatnya. Bila lahirnya Nabi akhir zaman mereka menafikan kenabiannya oleh kerana bukan dari bangsa yahudi. Sudah jelas ciri-ciri nabi akhir zaman pada peribadi Rasulullah. Sudah jelas seperti yang terdapat dalam kitab-kitab mereka. Tapi tetap dinafikan.

Kebenaran itu sifatnya jelas dan nyata. Hanya nafsu dan kesombongan yang akan menafikan kebenaran. Seperti yang pernah berlaku dalam sejarah. Bukanlah mereka itu tidak punyai akal dan perasaan untuk memikirkannya. Tetapi mereka sombong dan mengikut nafsu. Mereka mahu kekal . Mereka mahu bebas berbuat sesuka hati. Mereka mahu apa yang mereka mahu walaupun ianya adalah tidak benar. Mereka akan mati-mati menafikan kebenaran selagi mana kebenaran itu bertentangan dengan kepentingan mereka.


Jangan hidup dalam penafian. Tetaplah bersama yang benar. 




p\s . GST tu zalim. Cukai tidak boleh dikenakan kepada orang yang tidak layak (miskin). Bantah GST supaya bantahan ini boleh dijadikan saksi didepan Allah. Kita pernah menentang kezaliman.  http://bantahgst.com 


No comments:

Post a Comment